Hampir sebulan lepas, wang tunai berjumlah RM7.5 juta, jongkong emas, jam tangan mewah dan barangan kemas ditemui di rumah Pengurus Suncon , Chong Yih Lip, di Petaling Jaya. Lebih menggemparkan ada duit yang dibakar dalam serbuan SPRM itu.

Semalam, Sunway akui ada siasatan dilakukan ke atas staffnya.
Sunway Construction Group Bhd (SunCon) menjelaskan bahawa siasatan yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan lalu hanya memberi tumpuan kepada salah laku peribadi seorang bekas pekerja dan tidak membabitkan syarikat atau anak-anak syarikatnya.
Menurut syarikat pembinaan itu, dalam satu surat bertarikh 18 Ogos, SPRM mengesahkan bahawa SunCon tidak disiasat di bawah mana-mana peruntukan Akta SPRM 2009, termasuk Seksyen 17A.
Syarikat itu menyifatkan perkara berkenaan sebagai satu insiden terpencil.
Pekerja yang terbabit telah ditamatkan perkhidmatannya dan kini sedang disiasat lanjut oleh pihak berkuasa, menurut SunCon.
“Sebagai tindak balas, syarikat telah memulakan audit dan semakan menyeluruh terhadap prosedur tender bagi mengenal pasti dan menangani sebarang kelemahan prosedur dalam operasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan SunCon, Liew Kok Wing, berkata langkah ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk memperkukuh kawalan dalaman dan mencegah sebarang salah laku yang melibatkan pekerja atau subkontraktor.
“Kami menegaskan semula komitmen kami terhadap tahap ketelusan, tadbir urus dan pematuhan yang tertinggi,” katanya sambil menambah syarikat ingin memberi jaminan kepada pemegang kepentingan bahawa integriti operasi SunCon kekal utuh dan tidak terjejas.
Kok Wing berkata, syarikat telah mempertingkat kawalan dalaman susulan semakan SPRM bagi memastikan penyampaian projek tidak terjejas.
SunCon diperakui di bawah Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001:2016 oleh SIRIM QAS International.