KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan, Jati Tinggi Group Bhd (JTGB), memperoleh kontrak kerja bernilai RM79.86 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi melaksanakan projek pemasangan kabel bawah tanah di Pasir Gudang, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak berkenaan melibatkan pemasangan kabel bawah tanah litar berganda berkapasiti 275 kilovolt (kV) yang akan digunakan untuk sambungan bekalan elektrik ke sebuah pusat data di kawasan berkenaan.
Menurut syarikat itu, kontrak tersebut akan berkuat kuasa pada 2 Mac 2026 dan dijadualkan siap dalam tempoh 270 hari daripada tarikh permulaan kerja yang akan ditetapkan kemudian.
JTGB menjelaskan bahawa kontrak itu dijangka memberikan sumbangan positif kepada prestasi kewangan syarikat, termasuk meningkatkan pendapatan masa hadapan, pendapatan sesaham serta aset bersih sesaham sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa kontrak berkenaan tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham syarikat atau pegangan saham pemegang saham utamanya.
