Sabah Bentang Belanjawan 2026 RM6.4 Bilion, Lebihan RM28 Juta

KOTA KINABALU, 12 Dis — Kerajaan Sabah hari ini membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion, dengan unjuran lebihan RM28 juta, mencerminkan kedudukan fiskal negeri yang kekal stabil meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri menjangkakan hasil keseluruhan RM6.43 bilion pada tahun hadapan, sekali gus membolehkan belanjawan lebihan dibentangkan bagi tahun kewangan 2026.

Menurutnya, walaupun peruntukan belanjawan tahun depan mencatat sedikit penurunan berbanding 2025, kerajaan negeri masih mampu mengekalkan lebihan selepas mengambil kira anggaran hasil yang realistik dan berhemah.

Masidi berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 bertemakan “Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan” pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Beliau menjelaskan, penyediaan belanjawan tersebut dirangka melalui beberapa siri libat urus bersama kementerian dan jabatan, selain mengambil kira unjuran ekonomi global yang dijangka kekal mencabar pada tahun mendatang.

“Belanjawan ini juga mengambil kira pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif baharu, sejajar dengan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Bagi perincian peruntukan, Masidi berkata RM5.202 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.2 bilion disalurkan kepada Pencaruman Kumpulan Wang Pembangunan.

Susulan pelarasan perbelanjaan mengurus dan pembangunan, peruntukan bagi emolumen, perbelanjaan berulang serta perbelanjaan khas mencatatkan penurunan RM19.35 juta atau 0.3 peratus pada 2026 berbanding anggaran asal RM6.421 bilion pada 2024.

Dari segi unjuran hasil, Masidi berkata RM2.614 bilion dijangka disumbangkan melalui cukai jualan negeri, manakala hasil bukan cukai berjumlah RM2.348 bilion, sebahagian besarnya daripada royalti petroleum sebanyak RM1.075 bilion. Selain itu, terimaan bukan hasil diunjurkan mencecah RM1.311 bilion.

Beliau menegaskan, kedudukan kewangan yang kukuh merupakan asas penting bagi membolehkan kerajaan negeri menampung keperluan perbelanjaan mengurus dan pembangunan secara mampan.

“Dengan ekonomi yang progresif dan berdaya tahan, kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat dapat terus dipertingkatkan. Justeru, kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh kutipan hasil,” katanya.

Masidi turut memaklumkan RM1.865 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, meliputi RM1.468 bilion peruntukan negeri serta RM397.21 juta dalam bentuk pinjaman Persekutuan dan bayaran balik Persekutuan.

Peruntukan pembangunan negeri itu diagihkan mengikut sektor, dengan RM996.47 juta atau 67.90 peratus disalurkan kepada sektor ekonomi, RM345.77 juta atau 23.56 peratus kepada sektor sosial, manakala RM125.40 juta atau 8.54 peratus diperuntukkan bagi sektor pentadbiran am.

Selain itu, RM936.73 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan emolumen bagi membiayai gaji penjawat awam negeri, meningkat RM32.82 juta atau 3.63 peratus berbanding belanjawan asal tahun ini, susulan kenaikan gaji tahunan dan pelarasan gaji fasa kedua antara tiga hingga tujuh peratus.

Kenaikan itu, jelas Masidi, selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024 serta pertambahan pelantikan baharu penjawat awam Sabah.

Beliau berkata RM2.22 bilion atau 34.68 peratus dicadangkan bagi perbelanjaan berulang, antaranya meliputi kos pengoperasian, pentadbiran am dan pengurusan sumber manusia.

Sementara itu, RM2.045 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan khas, termasuk bayaran subsidi pembajakan padi serta kos pengurusan loji air di bawah kontrak penyumberan luar, termasuk pembelian air dan perbelanjaan penswastaan air.

Mengakhiri pembentangan, Masidi berkata Pilihan Raya Negeri Sabah yang baru selesai telah menyaksikan pembentukan kerajaan baharu yang akan memikul amanah rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Dengan iltizam yang tinggi untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada rakyat, Belanjawan Sabah 2026 akan menjadi tonggak utama merealisasikan agenda pembangunan dan kesejahteraan negeri,” katanya.

Back To Top