Bina Puri Raih Kontrak RM42.5 Juta Bagi Projek Pembinaan di Limbang, Sarawak

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan, Bina Puri Holdings Sdn Bhd, berjaya memperoleh kontrak bernilai RM42.5 juta daripada Mexajati Sdn Bhd untuk melaksanakan serta menyiapkan satu projek pembangunan di Limbang, Sarawak.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bina Puri memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Bina Puri Builder Sdn Bhd, telah menerima Surat Lantikan (Letter of Award – LOA) bagi projek tersebut pada 5 Mac 2026.

Menurut syarikat itu, sekiranya tiada sebarang keadaan luar jangkaan, kontrak berkenaan dijangka memberikan sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan, termasuk meningkatkan pendapatan masa hadapan, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham serta kedudukan nisbah hutang syarikat.

Bina Puri turut menjelaskan bahawa penerimaan LOA tersebut tidak akan memberi kesan terhadap modal saham syarikat atau pegangan saham pemegang saham utamanya.

Pada masa yang sama, syarikat itu menegaskan bahawa mereka terus mengekalkan kehadiran kukuh dalam sektor pembinaan di Sarawak, selepas berjaya menyiapkan beberapa projek mercu tanda sebelum ini, termasuk bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Plaza Merdeka di Kuching.

Back To Top