Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku dan menyita beberapa akaun bank milik Rohas Tecnic Bhd serta anak-anak syarikatnya, HG Power Transmission Sdn Bhd (HGPT) dan Rohas-Euco Industries Bhd (REI), yang dipercayai berkaitan dengan siasatan terhadap satu perjanjian pada tahun 2015.
Rohas Tecnic dan dua anak syarikatnya telah menerima perintah pembekuan dan penyitaan daripada SPRM, di mana perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) dan Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) terhadap beberapa akaun bank milik Rohas Tecnic, HGPT dan REI.

“Perintah ini dipercayai dikeluarkan sebagai sebahagian daripada siasatan SPRM berhubung satu kontrak yang dimeterai oleh HGPT pada tahun 2015, sebelum syarikat memperoleh HGPT pada tahun 2017. Syarikat kini sedang menilai kesan potensi perintah tersebut serta isu berkaitan ke atas operasi keseluruhan kumpulan,” menurut kenyataan syarikat dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Rohas Tecnic menyatakan bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan peguam yang dilantik berkaitan perintah itu, dan akan mengambil segala tindakan perlu untuk melindungi kepentingan syarikat serta pemegang sahamnya.

Syarikat infrastruktur utiliti itu percaya bahawa siasatan SPRM ini adalah terasing dan tidak berkaitan dengan perniagaan atau kontrak lain kumpulan.

“Lembaga pengarah memberi keutamaan tertinggi terhadap perkara ini, dan syarikat mengulangi komitmennya terhadap tahap integriti, ketelusan dan tadbir urus tertinggi di semua peringkat operasi kumpulan,” katanya.
Tambahnya lagi, syarikat sedang memantau rapat perkembangan isu ini dan akan membuat pengumuman lanjut jika perlu, selaras dengan keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd dan undang-undang berkaitan.
Pada penutupan dagangan, saham Rohas Tecnic jatuh 1.5 sen atau 5.17 peratus kepada 27.5 sen daripada 29 sen pada penutupan semalam, dengan 226,200 unit didagangkan.
