Speed Mart Dijangka Manfaat RM3 Billion Daripada Program SARA Tahun Depan

99 Speed Mart Retail Holdings Bhd semakin kukuh menguasai pasaran runcit Malaysia di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), hasil kekuatan rangkaian kedai yang meluas serta pengaruh jenama yang mantap.

Penganalisis RHB Investment Bank, Soong Wei Siang, syarikat itu muncul sebagai penerima utama manfaat dasar fiskal kerajaan yang semakin menumpukan bantuan kepada sektor barangan keperluan harian.

“Pemerhatian kami menunjukkan 99 Speed Mart semakin menguasai bahagian pasaran di bawah program SARA, berikutan rangkaian cawangannya yang mantap serta ekuiti jenama yang tinggi,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Berdasarkan Belanjawan 2026, peruntukan bagi program bantuan sosial utama seperti SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kekal pada RM15 bilion, namun peralihan lebih besar kepada SARA dijangka memberi impak positif kepada sektor pengguna.

RHB menjangkakan lebih RM3 bilion dibelanjakan tahun depan untuk barangan dapur dan keperluan asas, satu langkah yang akan melonjakkan volum jualan peruncit besar seperti 99 Speed Mart.

Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran pendapatan 99 Speed Mart bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 masing-masing sebanyak lima, 13 dan 14 peratus, disokong peluasan pantas kedai berdaftar SARA yang kini melebihi 1,400 cawangan daripada kira-kira 7,300 kedai di seluruh negara.

Harga sasaran saham syarikat turut disemak naik kepada RM3.56 sesaham berbanding RM2.81 sebelum ini, dengan potensi kenaikan 14 peratus serta hasil dividen diunjur sekitar dua peratus bagi tahun kewangan 2026.

“99 Speed Mart berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan pendapatan boleh guna kumpulan berpendapatan rendah serta trend perbelanjaan berhemat akibat tekanan inflasi,” katanya.

Syarikat itu dijangka mengekalkan pertumbuhan keuntungan purata tiga tahun sekitar 15 peratus, disokong peluasan ke kawasan luar bandar dan strategi memperkukuh penawaran produk melalui platform jualan pukal.

Bagaimanapun, Wei Siang berkata, risiko utama kepada 99 Speed Mart termasuk isu reputasi, persaingan sengit dan kemungkinan perubahan struktur dalam corak perbelanjaan pengguna boleh menjejaskan unjuran positif jangka panjang.

Back To Top