McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat korporat berjumlah RM150,000 kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam satu majlis penyerahan di McDonald’s Pandu Lalu Kota Laksamana di sini, pada Isnin.

McDonald’s Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis penyerahan itu disempurnakan Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Jusoh yang juga Pengerusi MAIM.
Selain zakat korporat, McDonald’s Malaysia turut menzahirkan komitmen terhadap masyarakat setempat dengan menyantuni keluarga asnaf menerusi pemberian 100 Kotak Rezeki dan menyediakan 1,000 hidangan percuma untuk komuniti yang hadir ke majlis tersebut.
McDonald’s Malaysia memaklumkan sehingga ini, syarikat perkhidmatan makanan 100 peratus milik orang Islam itu telah menyerahkan zakat keseluruhan mencecah RM761,000 kepada kerajaan negeri Melaka menerusi MAIM.
Melaka merupakan negeri kelapan menerima zakat korporat daripada McDonald’s Malaysia setelah syarikat itu menjelajah ke Perak, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah untuk melunaskan rukun Islam keempat itu selain turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf negeri terlibat.
“Selain zakat, McDonald’s Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.

“Sebagai contoh, di Melaka sahaja, McDonald’s mempunyai 15 restoran yang telah menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 740 rakyat tempatan,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata syarikat itu amat berbesar hati dapat menunaikan amanah kepada ummah menerusi zakat dan menyumbang kepada asnaf di Melaka.
“Alhamdulillah, bagi kami kejayaan perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan semata-mata, tetapi juga bagaimana kelebihan ini boleh digunakan untuk membangunkan masyarakat dan inilah nilai yang kami amalkan sebagai perniagaan berteraskan komuniti,” katanya.
Dalam kenyataan itu juga, McDonald’s Malaysia memaklumkan syarikat itu telah mengumumkan pembayaran zakat korporat sebanyak RM2 juta bagi tahun ini ke seluruh negara dan syarikat itu telah menyalurkan zakat berjumlah lebih RM14 juta kepada pusat zakat negeri di seluruh negara sejak menjadi syarikat milik penuh orang Islam pada 2017.
Sebagai sebuah syarikat yang berhasrat menjadi jiran prihatin kepada komuniti di sekitar 370 restorannya di seluruh negara, setiap tahun, McDonald’s Malaysia melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan menerusi program Komuniti@McDonald’s termasuk sumbangan kepada anak yatim selain menyumbang moreh ke masjid dan surau, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia telah selamat menunaikan Zakat Korporat bernilai RM150,000 dan menyantuni golongan asnaf dengan pengedaran Kotak Rezeki di McD Bandar Baru Uda. Moga usaha ini memberi impak yang besar kepada komuniti Johor Darul Takzim.
