Tan Sri Abu Sahid Berdepan 17 Pertuduhan Pecah Amanah & Pengubahan Wang Haram RM452 Juta

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas 17 pertuduhan jenayah kewangan membabitkan jumlah keseluruhan RM452 juta.

Pertuduhan itu melibatkan empat kes pecah amanah bernilai RM313 juta serta 13 kes pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta, kesemuanya berkaitan dengan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya–KLIA (MEX II) yang dirancang bermula dari Persimpangan Putrajaya hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Abu Sahid, yang hadir dengan kerusi roda kerana masalah kesihatan, dibenarkan berada di luar kandang tertuduh sepanjang prosiding. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham… tidak mengaku salah,” kata Abu Sahid setiap kali pertuduhan dibacakan.

Maju Holdings, syarikat yang dipengerusikan beliau, merupakan pemegang konsesi Maju Expressway (MEX) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Putrajaya dan KLIA.

Bagi kes pecah amanah, pendakwaan menyatakan bahawa Abu Sahid, dalam kapasiti sebagai pengarah syarikat dan ejen Maju Holdings, melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku.

Back To Top