Projek kediaman baharu Sunway Bhd yang akan datang di Singapura, Chuan Grove dijangka menyumbang nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.3 bilion, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Bank pelaburan itu menganggarkan bahawa pembangunan berkenaan boleh dilancarkan pada harga S$2,800 bagi setiap kaki persegi atau lebih tinggi iaitu kira-kira 10.4 peratus lebih tinggi daripada harga semasa Chuan Park, sekali gus menjadikan unjuran GDV kepada S$1.31 bilion.
“Berdasarkan anggaran harga jualan kami iaitu S$2,800 bagi setiap kaki persegi, GDV yang diunjurkan boleh mencecah sekitar S$1.31 bilion.

“Minat pasaran terhadap lokasi ini telah terbukti melalui kehadiran kukuh seramai 5,000 pengunjung di galeri jualan Chuan Park pada hari pratonton pertama, menunjukkan wujudnya permintaan terpendam.
“Prestasi kukuh Chuan Park mengukuhkan keyakinan pasaran dan kebolehlaksanaan pembangunan Chuan Grove yang akan datang,” menurut HLIB dalam satu nota penyelidikan.

Di atas plot tanah ini boleh dibina 555 unit rumah dan merupakan plot paling besar di Chuan Grove.
Tender penjualan tanah kerajaan bagi Chuan Grove telah ditutup pada 4 September.
Usaha sama antara Sunway dan Sing Holdings telah menjadi pembida tertinggi, daripada lima pembida keseluruhan, dengan tawaran sebanyak S$623.9 juta (atau S$1,331 bagi setiap kaki persegi), mewakili premium 2.9 peratus berbanding bidaan kedua tertinggi.
Tapak tersebut dijangka dianugerahkan secara rasmi kepada pemaju yang berjaya dalam tempoh satu hingga dua minggu.

Pihak Berkuasa Pemulihan Bandar (URA) mempunyai hak untuk menolak bidaan tertinggi atau mana-mana bidaan lain.
Selepas penganugerahan tender dan kelulusan oleh URA, kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama di Singapura, dengan Sing Holdings memegang 65 peratus kepentingan dan Sunway menguasai baki 35 peratus.
HLIB menjangkakan projek pertama Chuan Grove akan dilancarkan antara separuh kedua 2026 hingga separuh pertama 2027.
Ia menambah bahawa margin keuntungan bersih bagi projek kediaman persendirian adalah dalam lingkungan belasan peratus rendah hingga sederhana.
“Dengan andaian margin bersih 10 peratus dan tempoh pengiktirafan selama empat tahun, bahagian keuntungan tahunan dianggarkan sekitar RM37.9 juta, yang berkemungkinan akan diiktiraf dalam tahun kewangan 2027 hingga 2030,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Sunway dengan harga sasaran RM6.