Pelabur asing terus jual saham, aliran keluar RM187.6 juta minggu lalu

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal menjual saham tempatan untuk minggu kesembilan berturut-turut dengan aliran keluar bersih bernilai RM187.6 juta di Bursa Malaysia minggu lalu.

Menurut MBSB Research, jumlah itu lebih rendah berbanding minggu sebelumnya berikutan cuti umum pada Isnin dan Jumaat yang mengurangkan hari dagangan.

Pelabur asing dilaporkan menjadi penjual bersih pada dua daripada tiga hari dagangan, dengan aliran masuk bersih RM173.2 juta direkodkan pada Rabu. Namun, ia gagal menampung aliran keluar besar pada Selasa (RM251.5 juta) dan Khamis (RM109.3 juta).

Sektor pembinaan merekodkan aliran masuk bersih tertinggi iaitu RM135.3 juta, diikuti pengangkutan dan logistik (RM41.5 juta) serta penjagaan kesihatan (RM38.9 juta).

Sebaliknya, perkhidmatan kewangan menyaksikan aliran keluar terbesar (RM417.1 juta), diikuti telekomunikasi dan media (RM43.1 juta) serta utiliti (RM35.9 juta).

Institusi tempatan pula mengekalkan momentum sebagai pembeli bersih minggu keenam berturut-turut dengan RM148.6 juta, manakala pelabur runcit tempatan terus menjual untuk minggu kedua.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) juga susut merentasi semua kumpulan dengan pelabur asing mencatat penurunan terbesar sekitar 42.2%.

Back To Top