BENGALURU: Lembaga pengarah Tesla mencadangkan pelan ganjaran bernilai AS$1 trilion (RM4.2 trilion) kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Elon Musk, yang bakal menjadi pakej gaji korporat terbesar dalam sejarah.
Ia menunjukkan betapa besarnya pengaruh Musk terhadap syarikat pembuat kereta itu ketika ia cuba beralih menjadi kuasa besar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Individu paling kaya di dunia itu secara konsisten telah meminta pegangan saham yang lebih besar dalam syarikat berkenaan untuk memperoleh lebih kawalan, walaupun pertikaian undang-undang berhubung pakej gaji pada 2018 – yang ketika itu hanya bernilai AS$56 bilion – masih berlanjutan.

Ganjaran yang dicadangkan kini adalah kira-kira 18 kali ganda lebih besar daripada pelan yang dipertikaikan itu, dan hampir menyamai nilai pasaran semasa syarikat.
Cadangan ini menonjolkan keyakinan lembaga pengarah terhadap keupayaan Musk untuk memimpin syarikat ke hala tuju baharu dan merangsang pertumbuhan semula, walaupun Tesla sedang kehilangan kedudukan kepada pesaing dari China di pasaran utama berikutan permintaan kenderaan elektrik (EV) yang semakin perlahan.
“Walaupun ganjaran berani yang dikaitkan dengan prestasi bukan sesuatu yang baharu, skala luar biasa ini menetapkan penanda aras baharu bagi insentif CEO dan akan menjadi topik utama perbincangan dalam bilik lembaga di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif 50 Park Investments di New York, Adam Sarhan.

Makluman kawal selia itu meletakkan Musk di tahap berbeza berbanding eksekutif teknologi lain, menyatakan bahawa pakej pampasan tradisional yang diberikan kepada eksekutif di syarikat lain tidak sesuai digunakan untuk merangka pampasan insentif bagi Musk.
Musk telah mengubah Tesla daripada syarikat pemula EV yang kecil menjadi pembuat kereta paling bernilai di dunia, meningkatkan pengeluaran, mengembangkan operasi secara global dan mendorong industri ke arah mobiliti elektrik, sambil mengendalikan beberapa syarikat lain termasuk SpaceX dan xAI.
Lembaga pengarah Tesla berkata, ganjaran terbesar ini diperlukan untuk memastikan Musk kekal fokus dan bermotivasi, namun pengkritik berpendapat bahawa, sebagai pemegang saham terbesar syarikat, beliau sudah pun mempunyai cukup insentif – dan pelan ini boleh memburukkan lagi pencairan saham serta menimbulkan risiko dari segi tadbir urus korporat.
Lembaga pengarah juga berkata, ganjaran baharu ini boleh meningkatkan pegangan saham Musk dengan ketara jika semua sasaran dicapai, sekali gus memberinya kawalan yang lebih besar ketika Tesla berusaha menjadi syarikat paling bernilai di dunia.
Pelan pampasan ini tidak mengenakan syarat mengenai jumlah masa yang mesti ditumpukan Musk kepada Tesla.

“Ini adalah pakej gaji yang sangat besar. Ia menimbulkan banyak persoalan, tetapi tahun lalu Musk telah memindahkan Tesla dari Delaware ke Texas untuk mengelakkan semua persoalan itu,” kata profesor di Sekolah Undang-Undang Boston College, Brian Quinn.
“Memandangkan harga saham Tesla kini lebih kepada vibes berbanding prestasi sebenar pembuat kereta itu, saya rasa mereka akan meluluskan pelan ini.”

Pelan yang dicadangkan itu akan memberikan Musk sehingga 12 peratus saham Tesla, bernilai kira-kira AS$1.03 trilion jika syarikat mencapai sasaran nilai pasaran AS$8.6 trilion.
Pelan itu memerlukan peningkatan nilai Tesla hampir lapan kali ganda, iaitu sekitar AS$7.5 trilion, dalam tempoh sedekad akan datang.
Musk pernah menyatakan bahawa robot humanoid Optimus akhirnya mungkin menyumbang sekitar 80 peratus daripada nilai Tesla, dan meramalkan ia boleh membantu menjadikan syarikat itu bernilai AS$25 trilion.
Jika ganjaran ini diperoleh sepenuhnya, ia akan meningkatkan kuasa mengundi Musk secara material daripada pegangan sahamnya yang kini sekitar 13 peratus, sekali gus memperhebatkan perdebatan mengenai tadbir urus dan pengganti kepimpinan.
-Reuters