Inta Bina Sdn Bhd Terima LOA Projek RM212 Juta Dari Sime Darby Property

Anak syarikat milik penuh Inta Bina Group Bhd, Inta Bina Sdn Bhd (IBSB) menerima surat anugerah (LOA) untuk projek pembinaan bernilai RM212.34 juta daripada Sime Darby Property (KL East) Sdn Bhd.

Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, skop kerja kontrak merangkumi pembinaan bangunan utama termasuk kerja-kerja luaran serta mekanikal dan elektrik.

“Tempoh pembinaan adalah selama 36 bulan. Tarikh permulaan serta tarikh siap berdasarkan LOA adalah 7 Oktober 2025 dan 6 Oktober 2028,” katanya.

IBSB berkata, Sime Darby Property bercadang untuk membina satu blok kondominium yang terdiri daripada Anjung A (233 unit) dengan 30 tingkat dan Anjung B (247 unit) dengan 32 tingkat.

Bangunan tersebut akan dibina di atas podium lapan tingkat yang mengandungi tempat letak kereta dari lima aras bawah tanah hingga tingkat dua, dua tingkat kemudahan penduduk di atas tanah serta satu lantai subtingkat bawah tanah.

“Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak diduga, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan masa depan Inta Bina untuk sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

Back To Top