Berjaya Food Catat Kerugian Tertinggi RM292 Juta

Dua minggu lepas, pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, menunjukkan keyakinan apabila membeli 31.5 juta saham BFood dalam satu transaksi besar pada 12 Ogos 2025. Kemudian, pada 28 Ogos 2025, Berjaya Food umumkan rugi sebanyak RM292 juta.

Berjaya Food Bhd (BFood), pengendali francais Starbucks di Malaysia, melaporkan kerugian bersih tahunan sebanyak RM292 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 — rekod kerugian tertinggi syarikat sejak penyenaraiannya.

Prestasi suram ini didorong oleh penurunan ketara hasil kepada RM477 juta, susut 36% berbanding tahun sebelumnya, berikutan kesan berpanjangan daripada boikot pengguna terhadap jenama Barat yang tercetus akibat konflik di Gaza.

Selain itu, pelaksanaan penstrukturan operasi Starbucks di Malaysia turut meningkatkan kos pelupusan aset sehingga mencecah RM152.8 juta, hampir enam kali ganda lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Untuk suku keempat sahaja, BFood menanggung kerugian bersih RM185.79 juta, berbanding RM38.2 juta pada tempoh sama 2024. Hasil suku tersebut turut susut 10% kepada RM115.9 juta berbanding RM130.57 juta setahun lalu.

Dengan prestasi kewangan yang merudum, lembaga pengarah BFood tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk tahun kewangan ini. Sebagai perbandingan, syarikat pernah membayar dividen 0.44 sen sesaham pada 2024 dan 3.5 sen sesaham pada 2023.

Penganalisis berpendapat kerugian terbesar ini merangkumi tiga faktor utama iaitu :

Tekanan luaran – Boikot jenama Barat jelas memberi impak besar kepada prestasi kewangan syarikat berasaskan francais global.

Isyarat kepimpinan – Tindakan Vincent Tan membeli saham ketika syarikat mencatat kerugian menghantar mesej positif kepada pasaran, sekali gus meyakinkan pelabur minoriti tetapi masih tidak boleh menghalang BFood dari mencatat kerugian.

Transformasi perlu agresif – BFood tidak boleh bergantung semata-mata kepada pasaran domestik, sebaliknya perlu memacu pertumbuhan luar negara dan inovasi produk untuk menutup jurang kerugian.

Back To Top