Tik Tok Hermano Kedutaan Guna Deepfake AI Untuk Buat Video Palsu Ketua Pengarah AKPS

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menafikan penularan sebuah video di platform TikTok yang mengaitkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Menurut AKPS dalam satu kenyataan, hari ini, video dimuat naik oleh pemilik akaun ‘Hermano Kedutaan’ itu adalah palsu dan dihasilkan melalui teknik ‘deepfake’ menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Agensi itu menegaskan penghasilan dan penyebaran video berkenaan adalah cubaan berniat jahat yang menjatuhkan imej, mencemarkan reputasi dan menjejaskan integriti Mohd Shuhaily, bertujuan memanipulasi serta mengelirukan orang ramai.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dan sentiasa waspada dengan kandungan yang disiarkan.

“Orang ramai juga dinasihat tidak menyebarkan video itu. Tindakan menyebar kandungan palsu adalah satu kesalahan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Walaupun kemajuan teknologi AI dialu-alukan, menurut kenyataan itu lagi, penyalahgunaannya dengan tindakan tidak beretika untuk tujuan memfitnah serta menjatuhkan maruah individu adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“AKPS memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang terbabit dalam penghasilan serta penyebaran video palsu berkenaan,” katanya.

Rakaman video berdurasi 18 saat yang tular itu menunjukkan seolah-olah Mohd Shuhaily mempromosikan khidmat ‘Hermono’ sebagai pihak yang boleh membantu mereka yang mempunyai masalah berkaitan pasport dan dokumen lain.

Ada pautan Whatsapp daripada video tik tok milik Hermono itu. Nampaknya sindiket ini seolah-olah mahu memperdayakan orang ramai dengan menjaja video Suhaily bagi meminta wang agar kelulusan passport dan visa mereka dimudahkan. Ini taktik scammer untuk tipu orang-orang kampung dan luar bandar. Siap ada masa lagi buat appointment menerusi whatsapp, harap polis tangkap segera pemilik nombor telefon ini.

Back To Top