9 syarikat Malaysia disenarai ‘Best Under A Billion’ Forbes Asia 2025

KUALA LUMPUR: Sembilan syarikat senaraian awam dari Malaysia berjaya menempatkan diri dalam senarai Best Under A Billion Forbes Asia 2025.

Senarai tahunan itu mengiktiraf 200 syarikat kecil dan sederhana terbaik di rantau Asia Pasifik dengan pendapatan tahunan kurang daripada AS$1 bilion (RM4.23 bilion), yang menunjukkan prestasi cemerlang walaupun berdepan persekitaran ekonomi mencabar.

Malaysia muncul negara ketiga terbanyak dalam senarai itu di Asia Tenggara selepas Thailand (17 syarikat) dan Indonesia (10 syarikat).

Sembilan syarikat tempatan yang berjaya menembusi senarai itu ialah Able Global Bhd, Crescendo Corp Bhd, Frontken Corp Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd, Hup Seng Industries Bhd, ITMAX System Bhd, Kerjaya Prospek Group Bhd, Pekat Group Bhd dan Scientex Bhd.

Menurut Forbes Asia, walaupun pertumbuhan rantau Asia Pasifik dijangka kekal perlahan berikutan ketegangan perdagangan, syarikat-syarikat terpilih menunjukkan daya tahan luar biasa dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

“Syarikat dari segmen tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan pusat data menunjukkan pertumbuhan kukuh hasil momentum industri yang semakin rancak,” kata kenyataan itu semalam.

Senarai itu turut menyaksikan lonjakan penyertaan sektor perkhidmatan kewangan dengan 18 syarikat tersenarai, lebih dua kali ganda berbanding lapan syarikat pada tahun lalu.

Dalam masa sama, industri kecantikan, kebanyakannya dari Korea Selatan, turut menyerlah dengan 13 syarikat berjaya menempatkan diri dalam senarai tahun ini.

Bagi Malaysia, sembilan syarikat yang terpilih mewakili pelbagai industri berpotensi tinggi termasuk teknologi, automasi, minyak dan gas, pembangunan hartanah serta pemprosesan makanan.

Secara keseluruhan, sebanyak 69 syarikat kembali tersenarai dalam edisi 2025 selepas turut berada dalam senarai tahun sebelumnya, menandakan konsistensi prestasi dan daya saing mereka.

Senarai ‘Best Under A Billion, diperkenalkan pada tahun 2002, dan sebelum ini pernah menampilkan syarikat Malaysia ternama seperti IOI Properties Group Bhd dan AirAsia sebagai antara peneraju rantau ini.

Ia turut menampilkan kejayaan terbesar beberapa syarikat terkemuka Asia.

Alumni yang terkenal termasuk syarikat teknologi iaitu Baidu, Alibaba dan Tencent serta pengeluar kereta, Geely Automobile dari China; syarikat perisian dan perkhidmatan perundingan dari India, Infosys dan Wipro, syarikat biofarmaseutikal, Biocon; pemaju hartanah runcit Thailand, Central Pattana; rangkaian makanan segera popular, Jollibee dari Filipina; serta pengeluar makanan dan minuman Taiwan, Want Want Holdings.

Back To Top