TikTok Shop merekodkan lebih 100 juta carian produk setiap hari di Malaysia.
Platform e-dagang itu mengumumkannya pada 23 Ogos 2025 pada acara libat urus industri di Pusat Konvensyen Setia City, yang menghimpunkan beribu-ribu perniagaan tempatan, pencipta kandungan dan rakan kongsi e-dagang.
Pengarah Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata platform itu menyaksikan semakin ramai rakyat Malaysia beralih ke TikTok Shop bukan saja untuk ‘penemuan produk’, tetapi juga untuk ‘membeli-belah yang disengajakan’.

“Dengan peningkatan keyakinan pengguna, kami melihat perubahan dalam corak pembelian di mana pengguna semakin bergantung kepada TikTok Shop, bukan saja untuk inspirasi tetapi juga untuk membuat pembelian secara langsung.
“Ekosistem e-dagang kami yang menyeluruh direka khas untuk memperkasakan usahawan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jenama tempatan dengan menghubungkan mereka kepada khalayak seluruh negara menerusi kandungan yang menarik dan boleh dibeli,” katanya.
Pada sidang kemuncak itu, TikTok Shop turut memperkenalkan beberapa alat baharu bagi membantu penjual dan pencipta kandungan mengembangkan perniagaan mereka.
Antara alat baharu yang diumumkan termasuk alat automasi GMV Max, Affiliate Creatives for Ads (ACA), pusat peluang, promosi diskaun ketibaan, penyegerakan data produk, ciri pautan gabungan serta lencana Star Creator.

Nur Azre berkata, platform itu mempamerkan studio mini berteknologi tinggi yang membolehkan jurulatih dan penjual menjalankan latihan serta menghasilkan siaran langsung berkualiti tinggi menggunakan peranti serba lengkap untuk meningkatkan kadar penukaran.
“Platform ini juga menonjolkan beberapa ciri baharu, seperti pemulangan percuma selama 30 hari bagi produk TikTok Shop Mall, pengenalan TikTok PayLater untuk bayaran lebih fleksibel, serta program perintis penghantaran hari berikutnya di kawasan terpilih di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
“Bagi TikTok PayLater, kedua-dua komuniti iaitu penjual dan pembeli mendapat manfaat kerana ia menawarkan sifar faedah kepada kedua-dua pihak.
“Penjual boleh menerima lebih banyak pesanan kerana pembeli lebih bersedia berbelanja dan dengan lebih banyak pilihan produk dalam pasaran, pembeli cenderung untuk membuat pembelian bernilai lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa TikTok PayLater dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti had perbelanjaan yang diperibadikan dan semakan kemampuan kewangan.
Nur Azre turut berkata, pengguna boleh menantikan Jualan Akhir Tahun TikTok yang akan datang serta kempen Beli Barangan Malaysia, yang mempromosikan produk tempatan pada harga berpatutan.
“Usaha TikTok Shop untuk mempertingkatkan ekosistemnya telah diterjemahkan kepada pertumbuhan jualan yang memberangsangkan.
“Platform ini mencatatkan peningkatan jualan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 140 peratus semasa jualan 6.6 pada Jun, lebih 100 peratus pertumbuhan YoY semasa Ramadan dan Raya pada Mac, serta lebih 90 peratus semasa ‘Chinese New Year Huat Sales’ pada Januari,” katanya.
Nur Azre berkata, TikTok Shop menggalakkan perniagaan tempatan agar menggunakan pelbagai alat dan sumbernya menjelang musim jualan mega hujung tahun.
Tambahnya, platform itu akan menawarkan baucar diskaun sekali ganda kepada pembeli, manakala jenama di TikTok Shop Mall akan menerima dua kali ganda sokongan platform pada separuh kedua 2025.
“Usahawan dan perniagaan yang berminat untuk menyertai platform ini boleh mendaftar melalui TikTok Shop Seller Centre dan mengakses tutorial langkah demi langkah melalui TikTok Shop Academy,” katanya.