Sapura Energy Bhd (SEB) memperoleh dua kontrak daripada pelanggan tetapnya di Thailand bernilai melebihi RM500 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Muhammad Zamri Jusoh, berkata penganugerahan kontrak itu mengukuhkan lagi hubungan jangka panjang kumpulan dengan pelanggannya di Thailand.

Beliau berkata, hasil rekod pencapaian kumpulan terbukti dalam melaksanakan kempen luar pesisir yang serupa di negara itu.
“Ia juga menunjukkan strategi kami yang menumpukan kepada bidaan projek yang sejajar dengan selera risiko kumpulan, keupayaan teras serta kecekapan penggunaan aset kapal kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Kontrak itu dianugerahkan Chevron Thailand Exploration and Production Ltd dan Chevron Offshore (Thailand) Ltd kepada anak syarikat milik penuhnya, Sapura Energy (Thailand) Limited (SETH).
Ia bagi kempen pasang dan cabut struktur luar pesisir, serta perkhidmatan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan bawah laut (IRM) yang dijangka siap menjelang akhir 2026.
Kempen itu akan dilaksanakan oleh pasukan kejuruteraan dan pembinaan (E&C) Kumpulan.

Sementara itu, pesanan untuk perkhidmatan IRM bawah laut pula dianugerahkan oleh PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP).
SEB mempunyai rekod pencapaian dalam melaksanakan projek penyahaktifan di Thailand, bermula dengan kempen ‘Rig-to-Reef ‘pada 2020.
Sejak itu, pasukan SEB terus menunjukkan prestasi cemerlang, termasuk mencatatkan 1.5 juta jam kerja tanpa sebarang kecederaan yang menyebabkan kehilangan masa dalam kempen cabut saluran paip baru-baru ini, serta menjadi yang pertama di Asia melaksanakan kaedah ‘reverse S-lay’ dalam penyahaktifan saluran paip.