KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menggempur secara besar-besaran sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang disyaki merasuah pegawai penguat kuasa, melibatkan kerugian hasil cukai eksport mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Salah satu entiti korporat yang terpalit dalam siasatan itu ialah NationGate Solution (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh NationGate Holdings Bhd (KL:NATGATE). Syarikat itu mengesahkan telah diserbu SPRM pada Isnin sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kegiatan penyeludupan logam lusuh.
Berita serbuan tersebut menggemparkan pasaran saham — saham NationGate menjunam sebanyak 16% atau 26 sen sejurus dagangan disambung selepas rehat tengah hari. Ia kemudian diniagakan pada paras RM1.46 sekitar jam 2.45 petang. Jualan singkat (short selling) ke atas saham berkenaan digantung sepanjang hari.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, NationGate menyatakan pihaknya komited untuk bekerjasama penuh dengan SPRM dan menegaskan prinsip tadbir urus korporat serta ketelusan tetap menjadi keutamaan.
“Lembaga pengarah memberi jaminan bahawa operasi perniagaan tidak akan terjejas dan langkah interim telah diambil,” kata syarikat itu.
Operasi besar-besaran ‘Op Metal’ libatkan 19 lokasi, termasuk rumah mewah dan kilang pemprosesan
Siasatan terhadap NationGate dipercayai sebahagian daripada ‘Op Metal’, operasi khas yang dilancarkan oleh SPRM melalui Bahagian Operasi Khas (BOK) dengan kerjasama Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) — melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Sebanyak 19 serbuan dilakukan di seluruh Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor, termasuk:
- 6 lokasi di Pulau Pinang, antaranya rumah mewah, kilang penyimpanan dan pemprosesan besi buruk;
- 7 lokasi di Selangor;
- 4 lokasi di Kedah;
- serta masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Johor.
Wartawan Bernama yang menyertai serbuan mendedahkan banglo tiga tingkat milik seorang warga asing di Batu Maung, George Town, diserbu pada jam 6 pagi semalam. Lelaki tersebut dipercayai pengarah syarikat besi buruk tetapi berada di luar negara. Pasukan SPRM menemui isteri, anak dan seorang wanita warga emas dalam rumah berkenaan semasa siasatan dijalankan.
Seterusnya, pemeriksaan turut dibuat ke atas sebuah premis pemprosesan di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam. Hampir 30 pekerja termasuk pentadbir dikumpulkan untuk siasatan, dan beberapa dokumen penting dipercayai dirampas.
Modus operandi: Ikrar palsu, sogokan dan hasil cukai lesap
Menurut sumber siasatan, sindiket penyeludupan ini didakwa mengeksport besi buruk ke India, China dan negara lain, tetapi diikrarkan sebagai “barangan jentera” atau “logam lain” bagi mengelak cukai eksport sebanyak 15% yang dikenakan kerajaan.
“Untuk memastikan barangan ini melepasi sempadan tanpa dikesan, sindiket dipercayai merasuah pegawai penguat kuasa tertentu,” kata sumber kepada Bernama.
Tindakan ini menyebabkan kerugian hasil cukai mencecah RM160 juta setahun, atau lebih RM950 juta sejak enam tahun lepas.
Individu dan penjawat awam sedang dikenal pasti
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan operasi tersebut dan memaklumkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Fokus siasatan ialah mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat, termasuk penjawat awam yang melindungi aktiviti ini,” katanya.
NationGate dalam radar, siasatan dijangka meluas
Walaupun pihak NationGate cuba meyakinkan pelabur bahawa operasi perniagaan tidak terjejas, siasatan SPRM yang sedang dijalankan terhadap anak syarikatnya menimbulkan persoalan besar — sejauh mana penglibatan korporat dalam sindiket ini dan adakah akan ada pendakwaan jenayah atau tindakan korporat susulan?
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai tangkapan atau pertuduhan, namun pemantauan terhadap industri logam lusuh dan eksport kini diperketat.
NationGate pada mac lalu kontroversi dengan siasatan penyeludupan cip Nvidia oleh syarikat Singapura Aperia Cloud Service.