Pesta Gay Di Kelantan Diserbu Polis, Ada Lelaki Tawar Khidmat Sex Kepada Lelaki

Polis Kelantan menyerbu satu perjumpaan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin di sini pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan pada jam 1 pagi hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan oleh pasukan khas.

“Semasa kami tiba di banglo tersebut, hanya tinggal lebih kurang 20 orang lelaki.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka masih belum melakukan sebarang aktiviti persetubuhan, namun terdapat persiapan ke arah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di dalam banglo berkenaan menemui ratusan kondom serta ubat berkaitan HIV.

Tambahnya, hasil soal siasat mendapati mereka mengaku merupakan sebahagian daripada komuniti gay dan menganjurkan majlis tersebut secara percuma dengan promosi dilakukan menerusi media sosial.

“Tiga individu didapati memiliki bahan lucah berunsur homoseksual dan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Sementara itu, selebihnya telah diambil keterangan. Ada antara mereka yang mengaku menawarkan khidmat seks sesama lelaki dan juga menghidap HIV. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang merupakan penjawat awam,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Polis Kelantan memandang serius perkara ini dan akan terus memantau kegiatan kumpulan berkenaan.

Sementara itu, Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan tindakan pantas menggagalkan satu perjumpaan kumpulan gay di sebuah banglo di Jalan Kemumin, di sini, pertengahan bulan lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan tegas pihak berkuasa itu membuktikan kesungguhan dalam menjaga maruah agama, ketenteraman awam dan nilai kehidupan berlandaskan syariat Islam.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam.
“Amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak serta menggugat keharmonian sosial,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Back To Top